comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja asing sah boleh tukar majikan, isi keperluan sektor perladangan, pertanian

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mana-mana pekerja asing sah yang tidak mempunyai pekerjaan di negara ini dibenarkan untuk menukar majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja di dalam sektor tertentu khususnya sektor perladangan dan pertanian.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,  pertukaran majikan itu dibenarkan sekiranya sesuatu sektor pekerjaan itu telah penuh.

“Itu kaedah kita guna pakai, majikan dah bawa kemudian dia tak boleh adakan pekerjaan, opsyen penghantaran pulang (pun) tak boleh, kerana apabila kita hantar (pekerja asing), dah masuk kategori buruh paksa, itu akan beri kesan kepada rating kita.

“Jawatankuasa dalam dua mesyuarat terdahulu, kertas dibentang Jabatan Tenaga Kerja membolehkan dibuat proses pertukaran majikan kerana majikan dah bawa masuk dan terang-terang dia tak boleh sediakan pekerjaan, jadi kita benarkan pertukaran majikan dibuat membabitkan pekerja,” katanya.

Foto: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Tambahnya, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pagi tadi bagi mendapatkan gambaran tepat berhubung isu kekurangan pekerja di sektor perladangan.

Sebelum ini, Datuk Seri Johari dilaporkan berkata, Malaysia memerlukan antara 70,000 ke 80,000 pekerja bagi menampung kekurangan sumber tenaga buruh dalam sektor perladangan getah.

Ujarnya, keperluan itu untuk mengusahakan kira-kira 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah di negara ini yang tidak ditoreh.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya tempoh permohonan membawa pekerja asing ke negara ini dipendekkan daripada 29 bulan 13 hari kepada 15 bulan 23 hari.

“Keputusan ini membabitkan pengurangan signifikan sehingga 46 peratus. Pengurangan ini dari segi bayaran levi yang mana tempoh lama selama 30 hari. Apabila kita teliti data majikan, apabila dia dapat kelulusan hampir 70 peratus bayar dalam tempoh 15 hari. Jadi mengapa kita perlu 30 hari, maka kita pendekkan kepada 15 hari.

“Sebelum ini Jabatan Imigresen mengeluarkan pas lawatan kerja sosial (PLKS) dalam tempoh 30 hari tapi tadi komitmen kita antara satu hingga 15 hari,” katanya.

Foto: NSTP

Selain itu, tambahnya, Malaysia akan meneliti semula butiran memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan 15 negara sumber berkaitan pengurusan pekerja asing merangkumi perkara seperti yuran, kos, syarat kontrak dan kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jawatankuasa terbabit mencadangkan untuk melaksanakan semula program rekalibrasi penghantaran pulang warga asing selepas dihentikan sejak tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tertakluk kepada persetujuan Jemaah Menteri.

“Jadi kita akan cadangkan satu tarikh kepada Jemaah Menteri, semestinya mereka (warga asing tinggal lebih masa) akan dikenakan kompaun dan sebagainya, kita akan teliti perkara itu bergantung kepada proses permohonan yang kita terima.

“Ini juga langkah maklum balas daripada kedutaan dari negara sumber, mereka mengesyorkan supaya ruang untuk penghantaran pulang rakyat mereka itu dibuka kembali,” katanya.

Loading...
Terkini