Tumpuan :
Nasional

Pekebun rugi lebih RM60,000, dakwa pokok durian diserang penyakit misteri

Mohd Amir menunjukkan akar pokok durian yang rosak dan buah durian yang kecil akibat diserang penyakit misteri. – Foto : NSTP

KUALA NERUS : Seorang pekebun mengalami kerugian lebih RM60,000 apabila enam pokok durian miliknya termasuk jenis ‘Musang King’ dan ‘Udang Merah’ mati.

Lebih menyedihkan durian viral iaitu ‘durian Cikgu Wei’ (CW) juga diserang penyakit misteri sejak akhir Julai lalu.

Mohd Amir Nazrin Azenan, 31, dari Kg Lingai berkata, dia berasa sedih melihat satu demi satu pokok durian yang ditanam bapanya, Ismail Tawang, 76, diserang penyakit misteri dan mati.

“Pokok durian yang diserang penyakit itu menjadi kekeringan sehingga daun gugur seterusnya mati.

“Sebahagian pokok durian menjadi rosak pada bahagian batang. Akar pokok menjadi berair dan kehitam-hitaman.

“Bagaimanapun pokok durian yang sakit itu tetap mengeluarkan buah tetapi hanya bersaiz kecil berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya, di sini, hari ini.

Pekebun,Mohd Amir Nazrin Azenan menunjukkan durian ‘Musang King’ yang kecil kerana mendakwa akar pokok durian yang rosak diserang penyakit misteri. – Foto : NSTP

Tambahnya, dia mempunyai lebih 45 pokok durian pelbagai jenis dan kini semakin berkurangan akibat diserang penyakit itu.

“Sejak ayah diserang penyakit angin ahmar pada 2020, pokok durian juga sakit.

“Sekarang musim durian tetapi hasil yang diperolehi tidak banyak seperti sebelum ini kerana banyak pokok yang terjejas kerana penyakit misteri ini,” katanya.

Menurutnya, penyakit itu cepat merebak sekiranya tidak dikawal dan segala usaha sudah dijalankan untuk menyelamatkan pokok durian di kebun.

“Saya berharap masalah penyakit misteri yang menyerang pokok durian itu dapat ditanggani seterusnya menyelamatkan pokok durian yang lain yang kini sedang mengeluarkan hasil,” katanya.

Loading...
Terkini