comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekebun Lojing lupus enam tan timun setiap hari

FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Pekebun Lojing terpaksa lupus enam tan timun sehari berikutan berlaku lambakan sehingga sebahagian hasil tanaman itu terpaksa dibuang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL), Yusup Abd Rahaman menyifatkan lambakan itu adalah paling teruk dalam tempoh dua tahun sehingga pekebun terpaksa membuang hasil tanaman.

FOTO: NSTP

“Disebabkan lambakan itu, timun batang dijual secara borong hanya 30 hingga 50 sen sahaja sekilogram, berbanding sebelum ini RM4 hingga RM5 sekilogram.

“Situasi ini berlaku sejak akhir bulan lalu. Setiap tahun pun akan ada situasi berlaku lambakan namun tidak seteruk sebagaimana tahun ini sehingga harga yang dijual secara borong serendah 30 hingga 50 sen sahaja.

“Bagaimanapun, keadaan ini kita sudah jangka kerana cuaca yang baik menyebabkan hasil pengeluaran meningkat.

“Pada masa sama, kerajaan juga masih mengimport timun batang dari luar negara termasuk Thailand yang turut menyumbang kepada berlaku lambakan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya tidak mengimport timun batang bagi mengelak masalah lambakan terus berulang.

“Bila harga terlalu murah, hasil jualan pun tidak mampu menampung kos pengangkutan menyebabkan pekebun memilih untuk membuang hasil tanaman itu.

“Selain timun batang, tomato juga berdepan situasi sama apabila harga borong yang dijual hanya RM1.50 sahaja berbanding sebelum ini RM6 sekilogram,” katanya.

Loading...
Terkini