KLUANG: Seorang pekebun kecil kelapa sawit kerugian RM300,000 selepas terpedaya dengan helah penjenayah yang menawarkan pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa berusia 52 tahun sebelum itu dijanjikan suspek pulangan lumayan menerusi satu iklan di Facebook.
“Jumaat lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Kluang telah menerima satu laporan polis dari seorang lelaki berkaitan kes penipuan pelaburan ditawarkan di Facebook.
“Mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat dari awal November hingga awal bulan ini ke empat akaun bank yang berbeza sebanyak RM300,000.
“Selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat sebarang pulangan yang dijanjikan dan sering diberikan pelbagai alasan.
“Mangsa yang menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan dan polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan sebatan atau dengan denda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.