SIBU: Perkebun kecil lada di negara ini digalakan untuk turut mengusaha serta mempelbagai tanaman mereka bagi menjamin sumber pendapatan berterusan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha itu bukan sahaja dapat mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan, malah ia turut membantu dalam mengatasi masalah kekurangan pendapatan sekiranya berlaku perubahan pada harga komoditi lada di pasaran.
Katanya, selain mempelbagaikan tanaman, kerajaan juga turut memberikan bantuan dari aspek latihan teknikal dalam mempelbagaikan produk hiliran.
Selain itu, bantuan baja turut diberikan kepada perkebun kecil terlibat bagi membolehkan mereka terus terlibat dengan penanaman lada serta menghasilkan produk hiliran lada yang lebih berkualiti untuk memenuhi pemintaan pasaran.
“Kita akan melihat kerjasama kita dengan agensi-agensi yang lain termasuk dalam aspek pembangunan dan kajian (R&D) yang perlu kita lakukan dengan agensi kerajaan yang lain, dengan pihak universiti dan sebagainya supaya keluaran walaupun tanaman itu tak banyak tetapi hasilannya bertambah.
“Dengan hasilan yang bertambah ini kita berharap mereka (pekebun kecil lada) akan dapat meningkatkan pendapatan mereka ketika berdepan dengan perubahan harga yang berlaku terhadap komoditi terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) Cawangan Sibu.
Menurut Fadillah, bagi mengatasi isu kenaikan harga baja, MPB telah menjalin kerjasama dengan universiti tempatan untuk menjalankan kajian bagi menghasilkan baja yang sesuai untuk tanaman lada namun menggunakan sumber bahan mentah tempatan.
Beliau berkata, satu projek perintis tanaman lada menggunakan kaedah pertanian organik sedang dilaksanakan di Song, Kapit.
Katanya, jika projek berkenaan berjaya ia secara tidak lansung akan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia sekaligus mengurangkan kos pengeluaran lada yang perlu ditanggung oleh pekebun kecil komoditi terbabit.