Tumpuan :
Nasional

Pekan Rantau Panjang lumpuh akibat paras air Sungai Golok meningkat

Keadaan jalan utama ke pekan Rantau Panjnag yang ditenggelami banjir, hari ini. -FOTO NSTP

RANTAU PANJANG: Semua kawasan rendah di Rantau Panjang dinaiki air susulan peningkatan paras air Sungai Golok serta taburan hujan yang tinggi.

Malah operasi perniagaan di pekan Rantau Panjang juga ditutup sepenuhnya selepas dinaiki air separas 0.5 meter sehingga satu meter.

Selain itu, bekalan elektrik di kawasan banjir juga sudah dihentikan sekali gus meresahkan penduduk terutama yang masih berlindung di kediaman masing-masing.

Penduduk, Nurul Azianti Ab Rahman, 38, berkata, paras air di rumahnya mencecah bumbung sekali gus lebih teruk berbanding bah 2014, malah lebih menakutkan apabila hujan hari ini masih lagi lebat.

“Kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini juga tenggelam menyebabkan lebih ramai jumlah mangsa berpindah.

“Selain itu, kami berhadapan dengan kesukaran untuk mendaftar kerana hampir semua pusat pemindahan sementara (PPS) padat dengan mangsa banjir.

“Kami sudah mula rasa takut kerana banjir kali ini lebih luar biasa dengan paras air yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga, Azhar Mansor, 45, dia resah memikirkan barangan jualan miliknya di premis perniagaan di Pekan Rantau Panjang.

“Rantau Panjang seperti sudah lumpuh sepenuhnya kerana semua jalan masuk ditenggelami air namun berharap agar ia segera surut.

“Semoga semua mangsa yang terbabit dengan banjir dilindungi termasuk anggota penyelamat yang bertungkus lumus membantu kami di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini