comscore
Tumpuan :
Nasional

Pejalan kaki maut dirempuh, Polis giat kesan pemandu Perodua Alza merah

Pejalan kaki maut akibat langgar lari di KM0.5 EDL, awal pagi tadi. ( Foto ihsan polis)

JOHOR BAHRU:Polis Johor mengesan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza bagi membantu siasatan kes langgar lari yang mengakibatkan seorang pejalan kaki maut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian terbabit berlaku pada jam 4.30 pagi di Kilometer 0.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian membabitkan mangsa dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza warna merah.

“Kejadian berlaku di lebuh raya itu di laluan menghala ke bandar raya ini.

“Mangsa dirempuh mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di kiri bahagian jalan dilanggar Perodua Alza itu,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit tidak berhenti dan terus melarikan diri selepas kemalangan berlaku.

Menurutnya, usaha mengesan pemandu MPV berkenaan sedang dilakukan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian terbabit agar tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fatihah Ismail di talian 0104171762,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini