Tumpuan :
Nasional

Pejalan kaki maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

FOTO: Ihsan IPD KK

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki, 13 tahun maut dilanggar kereta ketika melintas jalan berhampiran Kampung Tebobon, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner (ACP) Kasim Muda berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pada jam 9.40 malam itu disebabkan oleh faktor kecuaian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an yang datang daripada arah Kota Kinabalu dan hendak menuju ke arah Bandar Sierra.

“Apabila sampai ditempat kejadian iaitu di kawasan Kampung Tebobon, tiba-tiba seorang pejalan kaki lingkungan 13 tahun telah berlari melintas jalan daripada arah kanan ke kiri jalan dan telah menyebabkan pemandu Perodua Axia tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar pejalan kaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki terbabit telah tercampak ke tepi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah serta telah disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan yang bertugas.

“Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang mana telah cuai di dalam melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Kasim turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalulintas.

“Selain itu juga bagi pejalan kaki pula dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan jika selamat barulah melintas jalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini