SHAH ALAM: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor menafikan dakwaan berhubung aduan rampasan tanah lapang di Taman Selayang Indah, Batu Caves yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan, pada 2019, PTG Selangor menerima dua permohonan pajakan daripada syarikat dan individu ke atas tanah Lot 50863, mukim bandar Selayang, daerah Gombak.
“Pihak Berkuasa Negeri pada 15 September 2020 mempertimbangkan kelulusan kepada pemohon yang bernama Ho Ah Chai bagi tujuan pertanian.”
“Sehubungan itu, satu Perjanjian Pajakan Tanah di antara kerajaan negeri selaku pemberi pajak dan Ho Ah Chai selaku penerima pajak dimeterai pada 13 November 2020.”
“Kelulusan pajakan ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya dalam kenyataan semalam.
PTG menjelaskan, pihak berkuasa negeri menerima surat aduan daripada wakil penduduk Taman Selayang Indah yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana kacau ganggu.
Susulan aduan berkenaan, PTG Selangor menjalankan siasatan di atas tapak pada 26 Julai dan mengeluarkan surat peringatan iaitu Notis Kemungkiran kepada penerima pajak bagi memulihkan keingkaran terbabit selaras dengan tujuan Perjanjian Pajakan Tanah yang dimeterai.
Menurut kenyataan itu lagi, PTG sentiasa prihatin terhadap sebarang aduan yang dikemukakan oleh rakyat.
Justeru itu, tindakan susulan juga akan dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan lain,” katanya.