Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) berpotensi meningkatkan ekosistem digital ketika Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi digital berpotensi menyumbang 23 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun depan dan RM120 bilion menjelang 2030.
“Jika kita mengekalkan prestasi ini (kemajuan teknologi), ekonomi digital mungkin menyumbang 25 peratus daripada KDNK negara.
“Penubuhan pejabat ini didorong oleh keperluan untuk menangani isu literasi digital, bukan sahaja dalam kalangan kakitangan kerajaan dan ahli politik, tetapi dalam membawa perubahan kepada pendidikan untuk berjuta-juta kanak-kanak.
“Pejabat AI akan melihat penyelarasan usaha dalam penyelidikan dan pelaksanaan,” katanya dalam ucapannya pada pelancaran Pejabat AI Kebangsaan di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar berkata, penyertaan syarikat-syarikat gergasi luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kecerdasan buatan (AI) memperlihatkan pendirian dagang Malaysia yang bersikap bersahabat dengan semua negara.
“Kita lihat banyak penyertaan yang besar dari Amerika Syarikat kerana masih mengetuai bidang penguasaan teknologi maklumat dan AI. Kita juga dapat penyertaan banyak dari Eropah, dari negara China dengan Huawei. Ini menunjukkan bahawa sikap kita sebagai negara yang bebas jaring hubungan dengan semua negara.” ujarnya.
Beliau juga menyaksikan pembentangan syarikat antarabangsa termasuk Toshiba, Google, Microsoft mengenai pembabitan mereka dalam memacu agenda AI negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.