comscore
Tumpuan :
Nasional

Peguam Negara wajar buat penjelasan terbuka keputusan DNAA Ahmad Zahid – DAP

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata Tan Sri Idrus Harun perlu beri penjelasan terbuka berhubung keputusan membabitkan Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: DAP berpendapat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun wajar memberi penjelasan terbuka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kes berkaitan Yayasan Akalbudi.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, pihaknya mengambil maklum kritikan ramai terhadap keputusan itu dan memahami permohonan menamatkan prosiding sementara siasatan lebih terperinci dibuat adalah budi bicara peguam negara.

“DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.

“Penjelasan ini penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, kontrak Idrus sebagai peguam negara tamat hari ini dan bakal digantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang pelantikannya bakal berkuat kuasa esok.

Loke juga menegaskan DAP akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.

Semalam, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Loading...
Terkini