comscore
Tumpuan :
Nasional

Peguam Menteri Kesihatan tarik diri, mahkamah tangguh bicara kes saman Dr Dzulkefly terhadap Najib

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya yang bermula hari ini di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan.

Penangguhan itu dibuat selepas peguam kepada Dr Dzulkefly menarik diri daripada mewakilinya.

Peguam Datuk SN Nair memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi bahawa beliau menarik diri daripada mewakili Dzulkefly dan perkara itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

 

Arziah kemudian membenarkan permohonan Nair dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 5, 6, dan 7 Mac 2025.

Mahkamah turut menetapkan 10 Julai ini untuk pengurusan kes dan melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan bermula hari ini hingga 6 Jun (Khamis).

Pada Januari 2022, Dzulkefly selaku plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020 pada 12.54 tengah hari mengenai isu kronisme, berserta satu lampiran paparan skrin artikel sebuat portal berita bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif.

Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa Najib selaku defendan menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya, dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Sementara itu, Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2022 mendakwa, hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Dzulkefly selain mendakwa ia merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini