PUTRAJAYA: Peguam kepada keluarga Tun Daim Zainudin kesal dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana masih gagal menjelaskan kesalahan dilakukan anak guamnya.
Peguam, Rajesh Nagarajan mendakwa SPRM sekadar ‘memancing’ untuk mendapatkan maklumat.
Beliau berkata isteri Daim, Toh Puan Naimah Khalid diajukan sebanyak 50 soalan manakala dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir ditanya kira-kira 40 soalan setiap seorang secara berasingan.
“Itu adalah masalah besar kerana kita tidak tahu apa kesalahan yang dibuat jadi apabila soalan ditujukan, anak guam saya tidak tahu adakah soalan ini relevan atau sebaliknya.”Ini jelas menunjukkan satu ‘fishing expedition’ di mana mereka sebenarnya membuat siasatan untuk mencari apakah kesalahan yang dibuat,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, selepas hampir sembilan jam, isteri dan dua anak Daim, selesai memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan rasuah terhadap bekas Menteri Kewangan itu.
Proses merakam keterangan Naimah serta Muhammed Amin dan Muhammed Amir bermula kira-kira jam 10 pagi tadi sebelum mereka dilihat beredar dari ibu pejabat bangunan badan pencegah rasuah itu di sini, pada jam 7.40 petang.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Sachpreetraj Sohanpal berkata pihaknya gagal mendapat butiran penuh punca ketiga-tiga anak guamnya dipanggil untuk direkodkan keterangan.
“Pada dasarnya apa yang kami minta senang sahaja, kami nak tahu dasar dan asas untuk SPRM memulakan penyiasatan nanti.”
“Sekiranya anak guam kami disyaki melakukan sesuatu kesalahan, pasti ada kaitan dan fakta latar belakang yang menyebabkan SPRM mengambil tindakan ini untuk memulakan siasatan. Itu yang kita nak tahu butiran tapi malangnya tidak dapat,” katanya.
Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Daim pula untuk diambil keterangan selepas ini, beliau mengesahkan ada bertanyakan perkara itu kepada pegawai agensi terbabit, namun tidak dijawab.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.