comscore
Tumpuan :
Nasional

Peguam didakwa pecah amanah bernilai RM53,000 ada tiga rekod jenayah penipuan

Foto hiasan

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Seorang Peguam didakwa terlibat dalam kes pecah amanah dengan nilai kerugian sebanyak RM53,000.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, laporan polis telah dilakukan mangsa pada 20 Ogos lalu.

“Mangsa yang juga seorang peguam melaporkan bahawa pada tahun 2022, firma guamannya telah dilantik untuk menguruskan urusniaga pembelian dan penjualan hartanah bagi sebuah syarikat.

“Mangsa telah mengamanahkan rakan kongsinya, yang kini menjadi suspek, untuk mengendalikan urusan tersebut,

“Firma guaman mangsa telah menghantar tuntutan yuran guaman berjumlah RM52,977.00 kepada syarikat tersebut, tetapi bayaran itu tidak dilunaskan.

“Suspek didakwa memberikan pengecualian yuran guaman tanpa kebenaran mangsa, yang menafikan sebarang pengetahuan mengenai pengecualian tersebut.

“Maklumat dari firma guaman lain menunjukkan bahawa cek bernilai RM52,977.00 telah dibayar kepada akaun peribadi suspek,” katanya dalam satu sidang media ringkas di sini.

Tambah Ramli, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes penipuan, dengan satu kes sedang dibicarakan di mahkamah dan dua kes lagi masih dalam siasatan. Suspek masih aktif berkhidmat sebagai peguam.

Sementara itu, beliau menegaskan, pihak Majlis Peguam Malaysia menyatakan komitmen mereka dalam menangani kes pecah amanah jenayah dalam kalangan peguam.

“Majlis Peguam Malaysia telah menyatakan usaha mereka untuk memperbaiki cara pengamal undang-undang berkhidmat dengan lebih telus dan berintegriti,” kata Ramli.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini