PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurut Muhammad Shafee, surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Muhammad Shafee menyertakan dokumen itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum berkenaan.
Surat itu menjelaskan bahawa baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest) melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Surat itu selanjutnya menyatakan Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan bahawa Titah Adendum adalah wujud dan sahih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.