KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera, Mejar Mohd Zainuddin Ishak, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya, malam Ahad lalu.
Mohd Zainuddin dikatakan hilang setelah kali terakhir dilihat menaiki sebuah Perodua Ativa dengan nombor plat kenderaan, VGU 3986, pada jam 7 malam.
Perkara itu dikongsikan dalam status tular semalam yang dimuat naik seorang pemilik Facebook, Abu Mikhail Mohd Fauzi, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan abang iparnya yang dilaporkan hilang.
“Warna badan kereta merah, bumbung kenderaan warna putih.
“Hilang tanpa dapat dikesan hingga sekarang. Mohon hebahan.
“Orang ramai mempunyai maklumat boleh berhubung dengan isteri melalui talian 012-4493952 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Zainuddin selepas didapati tidak hadir bertugas di Kem Wardieburn, Setapak, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu daripada seorang pegawai Kem Wardieburn pada jam 7.08 malam kelmarin di Balai Polis Jalan Tun Razak.
“Laporan dibuat susulan pegawai (Mohd Zainuddin) dikesan tidak hadir bertugas.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.