KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seorang pegawainya, Azizun Mohamad, yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) telah dihadapkan ke Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.
Azizun Mohamad didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.00, berkaitan dengan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.
“Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya, Daerah Sepang, Selangor.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM jelasnya mengambil serius dan tidak berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawainya.
“Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara,” tambah SPRM.
Tindakan itu katanya, mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.