Oleh: Khairul Rizuan Azizan
PETALING JAYA: Pegawai perubatan yang telah pun membuat rayuan permohonan berpindah tempat kerja diminta agar bersabar dan tidak melakukan sesuatu yang keterlaluan hingga mengganggu kerja-kerja penyelarasan yang sedang dilakukan Kementerian Kesihatahan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut Pakar Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun, meskipun perkara itu bukanlah menjadi satu kesalahan dalam perkhidmatan awam, namun mereka perlu lebih matang dalam mengutamakan tanggungjawab mereka dalam perkhimdatan berkenaan.
“Itu memang hak mana-mana penjawat awam untuk buat rayuan nak tukar tempat kerja tetapi saya mengharapkan rakan-rakan sekerja pegawai perubatan ini untuk kita rasa lebih berysukur.
“Tanamkan dalam diri kita keutamaan penjawat awam dan juga para doktor ini sebenarnya kita kena tolak keinginan diri akan tetapi lebih memberi fokus memberikan khidmat perubatan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada Buletin TV3.
Ujarnya, perubahan landskap dunia perubatan yang kini turut memberi kesan psikologi kepada pegawai perubatan selain terpaksa berjauhan dengan keluarga mendorong jumlah rayuan pertukaran tempat kerja dalam kalangan mereka meningkat saban hari.
“Antara faktor-faktor utama mereka ingin ditukarkan tempat kerja terutamanya bil berlaku tekanan kerja, sosial dan psikologikal di mana sokongan ahli keluarga itu sangat penting.
“Kita semua faham dan KKM sediri ambil maklum perkara itu akan tetapi berilah masa untuk KKM dan JPA untuk buat penyelarasan pertukaran,” katanya sambil menyifatkan tugas dan amanah yang dipikul warga KKM kini sangat besar dan mulia di mata masyarakat.
Justeru, tidak wajar sekiranya tindakan segelintir warga KKM yang bertindak berlebih-lebihan hingga mengubah persepsi terhadap kerjaya itu.
“Jangan kita seolah-olah menjadi seperti dah beri betis nak peha. Kita dah diserapkan di dalam jawatan tetap ini. Selepas itu macam-macam pulak permintaan yang diinginkan. Kita tidaklah boleh mengharapkan semua benda itu mengikut rentak yang kita mahukan sahaja. Sebaliknya kita bagi keutamaan sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan,”tegasnya.
Semalam Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 1,843 permohonan daripada 4,155 pegawai perubatan yang ditawarkan ke jawatan tetap mohon bertukar lokasi tempat kerja.
Daripada jumlah itu, sebanyak 332 permohonan telah diluluskan pada 27 Jun dan 24 Julai lalu.
Rayuan berkenaan dilakukan atas pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan yang bertindak meneliti alasan kukuh mereka termasuk kesihatan diri dan keluarga serta ancaman keselamatan.