![](https://media.buletintv3.my/2023/06/sprm-logo.jpg)
KOTA KINABALU: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM100,000 daripada syarikat-syarikat pengangkutan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an terbabit ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Tangkapan terhadap pegawai penguat kuasa ini adalah susulan tangkapan ke atas pembantu penguat kuasa oleh SPRM Sabah, pada Selasa lalu.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang rasuah daripada kira-kira 30 syarikat pengangkutan sejak Oktober 2023 hingga November 2024.
“Suspek menerima wang antara RM300 hingga RM3,000 secara bulanan yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.
“Wang itu sebagai dorongan untuk tidak mengmbil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya di sebuah daerah di negeri ini,” kata sumber itu, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 1(a) Akta SPRM 2009.
“Suspek dibebaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.