comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai Pejabat MB Kedah dipanggil beri keterangan babit insiden pertengkaran

ALOR SETAR: Seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu insiden pertengkaran membabitkan orang awam di sini, semalam.

Dalam video yang tular di media sosial berkenaan, dikatakan berlaku perselisihan faham antara pegawai terbabit dan orang awam di kawasan berdekatan tapak pasar malam Jalan Pegawai.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada dua lelaki berusia 48 dan 54 tahun berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, laporan pertama diterima pada jam 1.25 pagi tadi, manakala laporan kedua menyusul jam 10.58 pagi.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku semalam sekitar jam 11.50 malam di daerah ini.

“Berdasarkan rakaman video itu, beberapa individu bertengkar dengan seorang yang duduk di tempat bahagian pemandu kenderaan selepas berlaku selisih faham.

“Berikutan itu, polis sudah membuka dua kertas siasatan berasingan bersangkut kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Siti Nor Salawati berkata kes pertama disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan manakala laporan kedua disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Katanya, setakat ini pihak terbabit sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk dirakam keterangan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan sementara siasatan pihak polis dijalankan.

“Kita juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian ini untuk tampil memberi keterangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini