Tumpuan :
Nasional

Pegawai Maritim Malaysia ikut SOP, lepas tembakan untuk pertahan diri

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan tembakan dilepaskan pegawainya ke arah kapal pekerja migran Indonesia dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu sebagai tindakan mempertahankan diri.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarahnya, Laksamana Datuk Mohd Rosli Abdullah, yang turut mengesahkan pegawai terbabit pada kejadian awal pagi Jumaat lalu itu, mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Indonesia supaya Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai Maritim Malaysia jika terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan dalam kejadian tembakan itu.

Mengulas lanjut, katanya kejadian berlaku pada awal pagi Jumaat lalu apabila Pusat Operasi Maritim Selangor menerima amaran awal dari Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Klang mengenai aktiviti mencurigakan di perairan berhampiran Pulau Carey.

“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Ehsan/Ops Tiris 3.0 dihantar ke lokasi dan sebaik tiba, mereka mengesan sebuah bot mencurigakan sedang menuju laut terbuka.

“Dengan bantuan navigasi ACC Klang, aset ronda maritim mengejar dan mendekati sasaran untuk cuba menghentikan bot terbabit.

“Bagaimanapun, bot mencurigakan itu cuba mengelak ditahan dengan merempuh bot ronda Maritim Malaysia beberapa kali, selain cuba menyerang dengan parang panjang.

“Untuk mempertahankan diri, tembakan amaran dilepaskan ke arah bot terbabit, namun ia berjaya memecut dan melarikan diri ke dalam kegelapan. Bot ronda Maritim Malaysia terus mencari di kawasan sekitar selama kira-kira sejam, namun gagal mengesannya,” katanya.

Tambah Mohd Rosli, kira-kira jam 9 pagi keesokan harinya, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima laporan awam mengenai sebuah bot terdampar di kawasan paya lumpur di perairan Tanjung Rhu di Pulau Carey.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada semua suspek itu terbabit aktiviti penyeludupan, kerana kes masih dalam siasatan polis.

Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kejadian tembakan di perairan berhampiran Kuala Langat, menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.

Mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.

Baki tiga yang lain mengalami kecederaan tembakan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang.

Mohd Rosli ketika ditanya sama ada pihaknya tahu siapa yang menghantar tiga suspek yang masih hidup ke Hospital Serdang, beliau berkata Maritim Malaysia tidak mempunyai maklumat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini