comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai Khas MB Kedah nafi berkasar dengan peniaga pasar malam

Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad.

ALOR SETAR: Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Salmy Anas Ahmad menafikan melakukan kekasaran terhadap wakil peniaga seperti video tular di media sosial, kelmarin.

Susulan itu, beliau yang juga dikenali dengan panggilan Cikgu Anas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada jam 11 pagi semalam.

Salmy Anas berkata, beliau pergi ke tapak pasar malam di Jalan Pegawai itu pada kira-kira jam 11.30 malam bagi meninjau masalah membabitkan peniaga yang dimaklumkan kepadanya.

Katanya, beliau hanya mahu berbincang dengan ketua peniaga di situ, namun ketika tiba di lokasi, ada dua individu lain berada di kawasan berkenaan.

“Apabila sampai, saya lihat dua individu itu ada bersama ketua peniaga terbabit. Jadi, saya memaklumkan yang saya tidak dapat berbincang dengan ketua peniaga pada masa itu bagi mengelak ia jadi isu politik.

“Jadi, saya masuk semula dalam kereta, ketika itu seorang daripada individu terbabit menjerit berkali-kali memanggil saya turun sambil merakam video.

“Saya kemudian memintanya menghentikan rakaman video dan dia mengajak saya berbincang di tempat lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah dipanggil memberi keterangan berhubung insiden pertengkaran membabitkan orang awam.

Dalam video tular di media sosial, dikatakan berlaku perselisihan faham antara pegawai terbabit dan orang awam di kawasan berdekatan tapak pasar malam Jalan Pegawai.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada dua lelaki berusia 48 dan 54 tahun berhubung kejadian itu.

Salmy Anas berkata, selepas menyedari individu terbabit terus merakam video menggunakan telefon bimbitnya, beliau enggan memenuhi ajakan lelaki itu untuk pergi ke lokasi lain.

“Selepas itu timbul kekecohan yang turut membabitkan peniaga dan saya didakwa melakukan kekasaran kepada individu itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini