Tumpuan :
Nasional

Pegawai kastam terbabit sindiket seludup vape telah dipindahkan

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin. FOTO: NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai melibatkan rokok elektronik (vape) telah dipindahkan ke bahagian lain.

Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, tindakan tersebut diambil sementara menunggu siasatan selesai.

“JKDM secara konsisten tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku, pelanggaran integriti, atau jenayah rasuah,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Ujarnya, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengutip hasil negara, anggota kastam perlu berkhidmat dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.

Terdahulu media melaporkan, SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.

Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA.

Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM1.9 juta yang tidak diikrar dalam lori berkenaan.

Ia membawa kepada serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat berkenaan.

Susulan itu, enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara, petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini