Tumpuan :
Nasional

Pegawai kastam terbabit sindiket seludup akan ditukar hingga siasatan SPRM selesai

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan berkaitan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik dan vape akan ditukar ke bahagian lain sehingga siasatan selesai.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan nama pegawai terbabit daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disusuli dengan tindakan pertukaran itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuk SPRM dan tidak akan berkompromi.

“Nasihat saya, berkhidmatlah dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.

“Sebagai agensi pemungut hasil negara, setiap warga JKDM bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah ini dengan berintegriti,” katanya.

Anis Rizana berkata, jauhkan diri daripada perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara dan mencemar nama baik jabatan.

Terdahulu media melaporkan, SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.

Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA.

Hasil pemeriksaan menemui 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM1.9 juta yang tidak diikrar dalam lori berkenaan.

Serentak itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat berkenaan.

Susulan itu enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan dalam operasi sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini