comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai bomba ‘frontliner’ tragedi Batang Kali, meninggal dunia

Foto: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Abd Aziz Usoff yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu, meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata Abd Aziz meninggal dunia jam 7.55 pagi pada usia 49 tahun.

Allahyarham antara yang terawal tiba di lokasi runtuhan Batang Kali untuk membantu operasi itu walaupun tragedi terbabit bukan berlaku di kawasan jagaan beliau.

“Beliau sudah berkhidmat dalam selama 15 tahun, dan merupakan pegawai sangat berdedikasi, bertanggungjawab serta komited terhadap tugas, terutama ketika melakukan operasi kebombaan. Pemergian arwah adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam memaklumkan, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, sebelum disolatkan di Masjid Jamek Nurul Iman, Rawang.

“Allahyarham selamat dikebumikan semalam kira-kira jam 9.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al Ittihad, Sungai Kob, Karangan, Kulim, Kedah.”

Allahyarham meninggalkan seorang balu, iaitu Siti Mardhiah Nayan@Ahmad serta empat cahaya mata lelaki.

Loading...
Terkini