Tumpuan :
Kemalangan

Pegawai Berita RTM antara yang maut nahas babit tiga kenderaan

Oleh Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Ketua Unit Saluran Berita, Bahagian Berita Ehwal Semasa, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohd Zubairy Abdullah, 46, terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 18, Jalan Lipis – Benta, dekat sini hari ini.

Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, lori dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu turut mengorbankan seorang lelaki dan dua wanita cedera.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya mendapat laporan mengenai kemalangan itu kira-kira 2.26 petang.

Katanya, hasil siasatan kemalangan itu dipercayai berlaku selepas MPV dipandu Mohd Zubairy dari arah Kuala Lipis ke Kuala Lumpur terbabas ke kanan jalan dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Menurut, susulan kemalangan itu sebuah pacuan empat roda juga dari arah Kuala Lumpur ke Lipis pula tidak sempat mengelak dan merempuh belakang lori terbabit.

“Akibat kemalangan itu pemandu MPV dan pemandu lori, Chang Kao Meng, 58, maut di tempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,”

“Seorang penumpang MPV dan kelindan lori turut tercedera akibat kemalangan itu,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Azli berkata, empat anak Mohd Zubairy berada dalam MPV terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, dua mangsa tercedera dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini