Tumpuan :
Kemalangan

Pegawai, anggota tentera maut nahas

SUNGAI BESAR: Seorang pegawai dan anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata kejadian jam 3.20 petang membabitkan Proton Persona dan lori.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berpangkat Leftenan Kolonel dan Lans Koperal yang berkhidmat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah dalam perjalanan dari Lumut, Perak ke Port Dickson, Negeri Sembilan

“Ketika kejadian, sebuah lori jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 35 tahun dipercayai baru selesai menjalankan kerja pembersihan jalan di kawasan tersebut.

“Pemandu lori kemudian memandu dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas kerja pembersihan.

“Pada waktu itu, kereta dinaiki dua mangsa masing-masing berusia 28 dan 49 tahun dari arah Sabak Bernam ke Klang gagal mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, kemalangan mengakibatkan mangsa masing-masing pemandu dan penumpang belakang maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Permukaan jalan empat lorong dua hala berkenaan kering dan cuaca juga tidak hujan,” katanya.

Loading...
Terkini