comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai, anggota polis yang hidup mewah melebihi kemampuan akan dipantau – KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan akan diselia secara pemantauan rapat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain itu pelaksanaan ujian saringan awal urin akan dilakukan secara berkala bagi memastikan semua anggota polis bebas daripada dadah.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan susulan trend pembabitan pegawai dan anggota polis dalam salah laku jenayah, dadah dan disiplin dilihat semakin meruncing.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku sehingga memberi imej yang buruk kepada pasukan.

“Paling mengecewakan sekarang, pegawai polis bukan saja gagal dalam penyeliaan, malah ada yang turut sama terbabit dalam kes jenayah, seperti kes terkini apabila seorang Asisten Superintendan bersama enam pegawai rendah polis ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita ketika siasatan kes narkotik.

“Jadi, semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku ini,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober 2024, anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, kepimpinan pada semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan membabitkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau.

“Tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati melanggar peraturan dan disiplin ditetapkan.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan mengesan salah laku pegawai polis.

“Tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya mereka terbabit dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, mahu pun lain-lain kesalahan berkaitan.

“Kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan pastikan tidak berulang lagi.

“Arahan dan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa perlu diamati, dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa diperingatkan kepada semua,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini