comscore
Tumpuan :
Nasional

Pegawai, anggota polis Terengganu rugi hampir RM1j akibat banjir

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa (dua dari kanan)

BESUT: Seramai 154 pegawai dan anggota polis Terengganu mengalami kerugian harta benda hampir RM1 juta akibat bencana banjir yang melanda negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata bantuan kepada mereka yang terbabit dengan banjir akan diagihkan menerusi ketua polis setiap daerah.

Rohaimi berkata, ketika bencana itu juga, beliau tidak dapat meninjau keadaan di daerah Besut berikutan jalan dinaiki air dan terputus hubungan.

“Justeru, program pasca banjir daerah Besut menjadi keutamaan untuk program kali ini.

“Selain menyerahkan sumbangan kepada tiga sekolah terpilih serta pelajar terjejas banjir, bantuan juga diagihkan kepada keluarga polis yang terbabit.

“Bantuan termasuk alat tulis, beg sekolah dan makanan ini hasil daripada sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang perseorangan dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir daerah Besut, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jertih, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Rosli Abdul Rahman.

Rohaimi berkata, empat pondok dan balai polis di beberapa daerah di Terengganu juga terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

Ia membabitkan Balai Polis Kuala Jengai di Dungun, Balai Polis Manir dan Pondok Polis Tenang, Hulu Besut serta Balai Polis Trafik di Jertih.

“Kebiasaannya kerajaan pusat akan memperuntukkan kira-kira RM 500,000 untuk membaik pulih premis serta balai polis mengalami kerosakan disebabkan banjir.

“Kemungkinan jumlah peruntukkan itu akan meningkat sedikit berbanding sebelumnya kerana ada tambahan dua premis yang turut terjejas kali ini iaitu Pondok Polis Tenang, Hulu Besut serta Balai Polis Trafik di Jertih,” katanya.

Loading...
Terkini