Tumpuan :
Nasional

Pegawai, anggota kastam guna kamera badan dalam penugasan harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia memperkenalkan penggunaan kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) dalam penugasan harian pegawai dan anggotanya.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, BWC adalah satu peranti kamera yang diguna di badan anggota semasa menjalankan tugas.

“Ia adalah sistem kamera yang dicipta untuk digunakan oleh pegawai JKDM di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan bagi merakam bukti dalam bentuk digital.

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) Siri 10 Bilangan 5/2019, JKDM diarahkan untuk menggunakan BWC dalam tugasan harian.

“Ini bertujuan bagi menambah baik tahap integriti pegawai-pegawai di JKDM serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk risikan dalam membendung ketirisan hasil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anis berkata, peralatan itu akan digunakan oleh pegawai terutama di Bahagian Perkastaman yang bertugas sebagai pegawai di barisan hadapan di pintu masuk utama negara dan pegawai di Bahagian Penguatkuasaan yang menjalankan operasi.

“BWC boleh menjadi ‘fear factor’ supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku dalam kalangan pegawai yang menggunakannya serta individu berurusan dengan pasukan operasi jabatan.

“Hal ini kerana rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit,” katanya.

Berdasarkan rekod JKDM sebelum BWC digunakan, katanya, terdapat sembilan kes aduan dibuat yang membabitkan salah laku pegawai di lapangan.

“Bagaimanapun, sejak BWC digunakan bermula Oktober 2023, data menunjukkan penurunan kes kepada lima aduan terhadap pegawai JKDM.

“JKDM sentiasa menyahut seruan kerajaan Malaysia MADANI iaitu setiap Kementerian dan Jabatan harus mempertingkatkan tatakelola melalui penggunaan pendigitalan dan Artificial Intelligence (AI).

“Justeru itu, JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini serta berdiri setanding dengan peredaran digital semasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini