Tumpuan :
Nasional

Pegawai, anggota bomba terlibat kongsi gelap, militan boleh dibuang kerja – KP JBPM

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Tahun 2024 JBPM di Kangar.-FOTO: NSTP

KANGAR: Amaran keras buat pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang didapati terlibat dengan kegiatan kongsi gelap atau gangsterism, boleh terus dibuang daripada perkhidmatan kerja mereka sekiranya disabitkan kesalahan berkenaan oleh mahkamah.

Ini adalah sebagai langkah jabatan berkenaan dalam mengangkat integriti pegawai dan anggotanya ke arah lebin tinggi selain mencegah amalan salah laku dalam perkhidmatan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, terdapat anggota bomba yang dikesan terbabit dengan kumpulan kongsi gelap termasuk menyertai kumpulan militan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

“Statistik aduan yang direkodkan di Unit Integriti JBPM menunjukkan 81 kes aduan integriti direkodkan sehingga bulan lalu dimana berlaku peningkatan hanya satu kes sahaja berbanding 80 kes bagi tahun dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Bagi aspek pengurusan tatatertib pula, dari tahun 2018 sehingga bulan lalu, statistik menunjukkan seramai 74 orang pegawai bomba dibuang kerja bagi kesalahan tatatertib.

“Angka itu merangkumi 35 orang terbabit dengan kes dadah, 33 orang pula didapati tidak hadir atau ponteng bertugas, empat orang pula didapati terbabit dengan sabitan penyertaan sebagai anggota kongsi gelap termasuk menyertai kumpulan militan JI dan masing-masing seorang dibuang kerja kerana rasuah dan jenayah seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Tahun 2024 JBPM di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakkan yang dibuang daripada perkhidmatan itu sudah pun menjalani proses perbicaraan di mahkamah dan dibuktikan bersalah dalam hal berkenaan.

“Memang kita terkejut apabila ada anggota kita yang terbabit tidak hanya dalam kumpulan kongsi gelap atau gangsterism tetapi dalam kumpulan militan jadi apabila mahkamah mendapati mereka bersalah, maka kita terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan dalam memastikan integriti jabatan terus terpelihara.

“Hal ini adalah satu petunjuk positif keberkesanan kesedaran atau ‘awareness’ dan sistem eAduan Integriti yang dibangunkan dalam meningkatkan kepercayaan pengadu dan isu integriti di peringkat bawah agar dapat disalurkan terus ke atas tanpa sebarang prejudis.

“Jabatan sama sekali tidak akan berkomproni dengan isu kesalahan tatatertib ini seperti penyalahgunaan dadah dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada pegawai yang melakukan kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Nor Hisham menyempurnakan sambutan majlis berkenaan yang bertemakan ‘Teguh Integriti, Kukuh Pertiwi’ dimana penganjuran majlis berkenaan adalah sebagai meningkatkan kesedaran integriti, memupuk nilai etika dan moral, menggalakkan tindakan dan sikap positif, mencegah amalan salah laku serta membina budaya organisasi berintegriti dalam kalangan warga kerja JBPM.

Pada majlis sama, sebanyak 16 JBPM Negeri menerima pengiktirafan bintang bagi Pertandingan Integriti, Governans dan Anti Rasuah (PGA) yang memasuki edisi keempat.

Selain itu, 14 orang pegawai juga dipilih oleh Unit Integriti JBPM berdasarkan pelbagai kriteria dan penilaian yang teliti seperti bebas daripada tindakan tatatertib dan sebarang aduan, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik serta mendapat markah penilaian prestas 90 ke atas dianugerahkan dengan Sijil Cemerlang Integriti.

Turut hadir Ketua Unit Integriti JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syed Azman Syed Ghazali dan Pengarah JBPM Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma’at.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini