KOTA TINGGI: Allahyarham Mohd Suhaimi Saad sering mengingatkan semua anak-anaknya supaya berpegang teguh pada suruhan Allah SWT, al-Quran dan hadis.
Isteri Allahyarham, Nordiana Mohd Naim, 39, berkata pesanan itu disampaikan setiap kali mereka sekeluarga berkumpul dan berbual.
“Biasanya kami akan bersembang sekeluarga, Allahyarham ada cakap Alhamdulillah, ayah sudah selesai tanggungjawab ayah mengajar kamu (anak-anak) mengenali Allah, Al-Quran dan Hadis.
“Allahyarham juga pesan suruh anak-anak jaga saya jika ajal menjemputnya, saya juga diminta menjaga anak-anak.” ujarnya ketika ditemui di kediaman bapanya di Felcra Sungai Ara, hari ini.
Menurutnya, ketika suaminya sedang sakit di kediaman mereka di Kota Baharu, Kelantan, mereka sekeluarga bermaafan sebelum dia membawa Allahyarham pulang ke Johor.
Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Ehmad Hadie Elfardie, 15 pula memberitahu mereka adik-beradik sudah menunaikan hasrat akhir ayahnya.
“Antara pesanan ayah sebelum meninggal dunia, dia minta agar kami jaga solat dan jangan tinggal juga mengaji.
“Ayah juga pesan kalau ayah tak ada nanti mandikan ayah, solatkan ayah alhamdulillah semua itu kita sudah selesaikan sudah buat,” katanya tenang.
Ehmad Hadie berkata dia menerima pemergian bapanya itu sebagai ketentuan Tuhan serta reda dengan apa berlaku.
“Kami semua (adik beradik) rapat dengan ayah. Hari-hari menjadi kenangan terindah bersama ayah ada saja benda yang seronok kami buat dengan ayah,” katanya lagi.
Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Sallman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.
Semalam, Mohd Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.40 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.