comscore
Tumpuan :
Nasional

“Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu” tingkat kesedaran kesihatan seksual di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kira-kira 18,000 kes kehamilan remaja direkodkan setiap tahun di Malaysia, selain peningkatan kes gangguan seksual.

Statistik ini menggambarkan betapa pentingnya kesedaran dan pendidikan seksual dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu dan memperkasakan individu dengan pengetahuan asas mengenai kesihatan seksual.

Bagi menangani isu kehamilan remaja dan gangguan seksual yang semakin membimbangkan, portal Media Prima, OHBULAN! dan SAYS Seismik melancarkan kempen “Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu”.

Inisiatif bersama portal Hello Doktor ini bertujuan membuka ruang perbincangan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan seksual.

Dilaksanakan sepanjang November 2024, kempen ini memberi tumpuan khusus kepada usaha memecahkan stigma dalam kalangan komuniti Melayu agar perbincangan mengenai kesihatan seksual dapat diadakan secara lebih terbuka dan berinformasi.

Kempen “Peduli Seks” mengangkat kepentingan pendidikan seksual dengan memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu kesihatan, keluarga dan hubungan, komuniti serta dasar dan advokasi.

Aspek pertama ialah kesihatan yang memfokuskan isu kesihatan reproduktif dan kontraseptif bagi lelaki dan wanita.

Selain itu, kempen ini menitikberatkan aspek keluarga dan hubungan yang merangkumi pentingnya persetujuan dalam perhubungan serta kesedaran terhadap tanda-tanda penderaan emosi, fizikal, dan seksual.

Aspek ketiga, iaitu komuniti menghubungkan masyarakat dengan organisasi sokongan yang memberi bantuan kepada mangsa gangguan seksual serta menangani isu-isu sosial kritikal lain. 

Akhir sekali, aspek dasar dan advokasi menggalakkan pemahaman mengenai polisi tempatan yang berkaitan dengan kesihatan seksual serta mendorong penglibatan awam dalam memperjuangkan pendidikan seks yang menyeluruh.

Wakil OHBULAN! dalam satu kenyataan berkata, perbincangan mengenai pendidikan seks bukan sahaja dapat membanteras maklumat palsu tetapi juga memperkasakan individu dengan pengetahuan yang diperlukan untuk menjaga kesihatan diri.

“Kami mahu mencipta ruang di mana masyarakat, terutama golongan muda, dapat memahami isu ini dengan lebih mendalam dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Kempen “Peduli Seks” disasarkan kepada semua peringkat masyarakat melalui pelbagai platform komunikasi bagi memastikan mesejnya dapat menjangkau khalayak yang lebih luas.

Antara medium yang digunakan termasuk artikel dan video informatif, podcast, serta sesi siaran langsung di YouTube.

Selain itu, iklan kempen juga akan disiarkan di televisyen, papan iklan, serta akhbar utama bagi memastikan penyampaian mesej yang lebih menyeluruh.

Sebagai pusat digital kempen ini, laman mikro khas di says.com/peduliseks diwujudkan untuk menyimpan semua kandungan berkaitan kempen.

Laman ini juga membolehkan pengguna berkongsi cerita tanpa dikenali serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai sokongan yang disediakan oleh pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO).

Di samping itu, tanda pagar #PeduliSeks digunakan untuk meningkatkan interaksi dengan pengguna di media sosial.

Wakil Hello Doktor turut menyatakan bahawa kerjasama dengan NGO dan agensi lain adalah penting untuk memastikan kempen ini mencapai impak yang lebih besar dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan seksual di Malaysia.

Kempen “Peduli Seks” diharapkan dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk lebih terbuka dan bersedia membincangkan isu-isu kesihatan seksual secara sihat dan berinformasi. 

Dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sihat dan berpengetahuan dalam menguruskan isu-isu seksual.

Loading...
Terkini