KOTA BHARU: Kes membabitkan seorang guru yang didakwa melakukan pedofilia di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Tumpat sudah selesai disiasat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan selesai selepas kenyataan daripada kedua-dua pihak diambil.
Katanya, pihak polis kini membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi siasatan ke atas penulisan.
“Hasil siasatan juga mendapati tidak ada bukti menunjukkan berlakunya gangguan seksual dan tidak wujud pedofilia terhadap mangsa yang kini berusia 24 tahun.
“Ini berikutan, guru yang didakwa itu mempunyai sikap dan kriteria yang baik. Namun, kita menunggu laporan perubatan ke atas wanita berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada penulisan itu ditulis kerana dendam atau fitnah, Muhamad Zaki berkata, ia masih dalam siasatan.
Pada 30 Mac lalu, media melaporkan Polis Kelantan memulakan siasatan terhadap kes yang membabitkan seorang guru yang didakwa melakukan pedofilia di MRSM di Tumpat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.