SERDANG: Lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis dengan memecut laju kereta dipandunya, berjaya ditahan di Jalan Persiaran Pinggiran Putra Seri Kembangan, di sini hari ini.
Dalam kejadian 1 tengah hari itu, suspek berusia 41 tahun enggan berhenti untuk pemeriksaan seperti diarahkan pasukan polis yang melaksanakan tugas ronda jenayah.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, anggota berkenaan terserempak kereta Honda City dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dan menghampirinya.
“Selepas memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis, secara tiba-tiba suspek melarikan diri dengan memecut keretanya menuju ke Puchong melalui Lebuhraya Damansara Puchong.
“Selepas diekori, lelaki berkenaan berjaya ditahan dan pemeriksaan padanya menemui satu peket plastik lutsinar disyaki syabu, malah semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah.
“Kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anbalagan berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit memaparkan kejadian itu tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan.