KUALA LUMPUR: Sebuah Unit Siber Teknikal dan Taktikal ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menangani ancaman jenayah dalam talian secara lebih efektif.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata 17 perjawatan telah diisi bagi membolehkan unit berkenaan memulakan operasi fasa pertama.
“Langkah ini diharapkan dapat menambah keupayaan PDRM menangani ancaman siber secara efektif,” katanya dalam ucapan ketika Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi November 2024 anjuran JSJK di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi penjenayah yang terlibat dalam jenayah komersial semakin kompleks, lebih-lebih lagi dengan pengunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, satu contoh membimbangkan ialah pengunaan tekonologi palsu asli atau deepfake yang membolehkan penjenayah mencipta kandungan palsu dalam bentuk video, gambar atau audio untuk memperdayakan mangsa.
“Kemajuan ini menuntut kita mengadaptasi langkah lebih proaktif dan berinovatif bagi mengekang eksploitasi penggunaan teknologi tersebut terutama dalam jenayah penipuan dalam talian.
Selain itu katanya, rasionalisasi perjawatan di JSJK juga merupakan antara usaha yang telah dijalankan bagi mendepani cabaran baharu ini.
Bagaimanapun katanya, memandangkan tiada peruntukan perjawatan baharu maka PDRM telah menggunakan perjawatan dalaman untuk menstruktur semula perjawatan JSJK mengikut keutamaan fungsi kritikal.
Razarudin juga berkata pindaan Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 dan 11 Julai lepas bakal memperkasakan penguatkuasaan undang-undang jenayah komersial termasuk berkaitan penggunaan akaun keldai.
“Pindaan bagi Seksyen 424 Kanun Keseksaan adalah berkenaan kesalahan berkaitan akaun keldai termasuk memiliki, mengawal dan menyerah kad atm, kad kredit, e-wallet dan sebarang instrumen pembayaran.
“Manakala pindaan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah bakal memberi kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada Sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan,” katanya.
Mengenai statistik jenayah komersial, Razarudin berkata jenayah penipuan dalam talian melibatkan enam modus operandi utama iaitu jenayah telekomunikasi, e-kewangan, e-dagang, Love Scam, pinjaman dan pelaburan tidak wujud merupakan kategori paling kerap dilaporkan setiap tahun.
Razarudin berkata bermula Januari hingga September 2024, sebanyak 24,671 kes jenayah penipuan dalam talian dicatatkan dengan nilai kerugian RM1.04 bilion.
Beliau berkata bagi aspek tindakan pembanterasan, bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 17,661 operasi dan serbuan dilakukan dengan polis berjaya menahan 18,506 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan 13,184 pertuduhan. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.