Oleh Fazli Ahmad
KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengabaikan laporan berhubung salah laku pegawai dan kesalahan tatatertib membabitkan pegawai dan anggotanya yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata semua laporan dikemukakan SPRM dipandang serius bagi memastikan integriti sentiasa terpelihara.
Katanya, laporan lengkap berhubung isu dinyatakan SPRM sudah disediakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
“Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka yang terlibat.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerja sama erat dengan setiap agensi untuk memastikan bahawa integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pahang antara Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Yahaya Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, hari ini.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan, ada kes tertentu masih dalam proses tindakan dan mungkin laporan mengenai tindakan dilakukan lambat dihantar kepada SPRM.
Namun tegasnya, PDRM tidak pernah meletak tepi semua laporan dimaklumkan SPRM membabitkan salah laku polis.
Katanya, setiap aduan dikemukakan SPRM atau mana-mana pihak tetap disusuli tindakan tegas kerana PDRM sentiasa memandang serius aspek pelanggaran tatatertip anggota dan pengawai polis.
Acryl Sani mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa ada agensi kerajaan tidak memberi kerjasama berhubung salah laku pegawai selepas laporan dikemukakan agensi terbabit.
Azam dilaporkan berkata, SPRM sedang menunggu perkembangan kira-kira 500 laporan membabitkan salah laku pegawai agensi tertentu termasuk kes sejak 12 tahun lalu.
Katanya, berdasarkan statistik SPRM antara agensi kerajaan paling banyak menerima aduan salah laku ialah PDRM sebanyak 125 kes.