Tumpuan :
Nasional

PDRM, SUHAKAM perlu bincang isu pemeriksaan telefon bimbit – KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media selepas melawat persiapan Asia International Security Summit and Expo (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengenai tindakan polis memeriksa telefon bimbit orang awam, terutama jika terdapat syak wasangka atau maklumat seseorang disyaki melakukan kesalahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perbincangan itu bertujuan untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan dan mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan tindakan tersebut.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin, untuk segera duduk dan berbincang dengan SUHAKAM. Dapatkan maklum balas, SUHAKAM juga perlu mengetahui apakah bidang ataupun skop tugasan yang membolehkan polis untuk membuat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan ‘walkabout’ Asia International Security Summit Expo (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jelas Saifuddin lagi, perbincangan itu juga bertujuan untuk memastikan pemahaman yang lebih jelas tentang kuasa dan tanggungjawab pihak polis, terutamanya dalam kes di mana suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah, termasuk keganasan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain dilaporkan berkata, polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau peroleh maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.

Razarudin, berkata hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.

Beliau berkata, perkara itu dibenarkan berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Razarudin turut menjelaskan dalam perundangan lain, Seksyen 20(g) Akta Polis memberi kuasa kepada pegawai polis di mana seseorang itu perlu mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini