KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat semua kilang sampah elektronik yang beroperasi secara haram di seluruh negara.
Ia akan dilaksanakan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) secara berperingkat bagi mengenal pasti mereka yang menjalankan aktiviti ini tanpa kebenaran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kewujudan kilang haram yang melupuskan barangan elektronik secara tidak sah hingga menyebabkan pencemaran bau dan bunyi serta mengganggu masyarakat setempat diberi perhatian serius.
“Pasukan AMLA PDRM diketuai Datuk Muhammed Hasbullah Ali mengambil tindakan secara berperingkat di seluruh negara merangkumi sitaan, rampasan dan penahanan individu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, tindakan menyeluruh polis merangkumi mengenal pasti modus operandi, rangkaian, pemilik premis dan mereka yang bersekongkol dengan kegiatan haram berkenaan.
Sebelum ini, terbongkar kegiatan memproses dan melebur sampah elektronik atau e-waste oleh sebuah kilang kitar semula barang terpakai haram di Segamat, Johor.
Kilang yang melebur sampah e-waste itu beroperasi tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan dan tanpa lesen sah daripada Jabatan Alam Sekitar.
Serbuan dibuat selepas penduduk setempat mendakwa berdepan pencemaran bau pada waktu malam akibat proses peleburan sisa e-waste.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.