
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap 15 mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar, yang berjaya dibawa pulang ke tanah air, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kesemua mereka diserahkan kepada PDRM sebaik tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 3 petang.
“Kesemua rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang dengan bantuan Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok itu diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya memetik laporan Harian Metro.
Selain itu, Razarudin berkata, kesemua warga Malaysia terbabit juga akan menjalani proses pengenalpastian mangsa mengikut National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
“PDRM akan menilai keterangan kesemua mereka sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, semua proses terbabit dijangka selesai pada hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 15 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar berjaya dibawa pulang.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan memaklumkan kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand telah memudah cara penghantaran pulang kesemua mangsa.
Menurut KLN, selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari lalu, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah segera memberikan bantuan konsular yang menyeluruh.
Kedutaan juga telah mengatur pengangkutan serta menyediakan barangan keperluan asas, termasuk makanan dan pelitup muka di samping mengiringi mangsa sepanjang perjalanan selama 25 jam dari Wilayah Tak, Thailand ke Bukit Kayu Hitam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.