comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM siap siaga hadapi kemungkinan banjir

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, persiapan itu terdiri daripada kekuatan anggota, aset dan sebagainya.

“Kita sudah mengadakan mesyuarat dan persiapan rapi dari segi kenderaan, bot, kekuatan pegawai serta anggota.

“Kelantan sahaja lebih 1,000 pegawai dan anggota yang bersiap sedia dan banjir bukan perkara baharu, sebaliknya kita sudah berdepan setiap tahun.

“Persediaan ini bukan hanya membabitkan PDRM sahaja, sebaliknya semua agensi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kelantan dan Pengerusi Perkep Kontinjen Kelantan.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara pada 31 Ogos lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal bulan depan, yang mengundang risiko banjir di beberapa negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini