KUALA LUMPUR: Polis menerusi Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina menyelaraskan Op Lancar di 30 lokasi ‘hotspot’ di lebuh raya seluruh negara bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan lancar.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim, berkata PDRM turut menyelaraskan Op Payung oleh semua kontinjen polis negeri untuk pengawasan di jalan negeri dan jalan persekutuan.
“Pada hari ini dijangka berlaku peningkatan kenderaan memandangkan cuti sekolah sudah bermula dan JSPT bersiap siaga di kawasan-kawasan hotspot yang dikenal pasti.
“PDRM menggesa dan menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dengan mengikuti jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, semua pemandu dinasihatkan agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan serta mengelak berlaku kemalangan.
Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina dilancarkan bermula 18 Januari lalu dan berakhir akan 27 Januari ini.