KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang pegawai kanan polis yang disyaki terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan sebaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatannya.
“Saya mengesahkan seorang pegawai kanan ditahan SPRM. Saya dimaklumkan mengenai penahanan itu oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki).
“Biarlah SPRM siasat dahulu, kemudian siasatan dalaman akan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan SPRM selepas dipercayai terbabit melindungi aktiviti haram di sekitar ibu negara. Penahanan pegawai kanan yang bertugas di sebuah jabatan itu dilakukan di Putrajaya.
Susulan itu, pegawai terbabit direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.
Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemui sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.
Suspek utama ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.