Tumpuan :
Nasional

PDRM rugi RM3.2 juta akibat banjir, ribut

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) melihat gambar kesan banjir semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir di Balai Polis Kampung Kuala Jengai, hari ini. FOTO: NSTP

DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta akibat banjir dan ribut yang melanda di seluruh negara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia membabitkan 42 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, ia membabitkan kerosakan pada balai polis, pondok dan berek yang ditenggelami banjir dan kejadian ribut sepanjang berkenaan.

“Daripada jumlah itu, kira-kira RM2.5 juta kerosakan akibat banjir di 32 lokasi, RM200,000 (pokok tumbang-ribut di satu lokasi) dan RM559,000 (bumbung dan siling-ribut) di sembilan lokasi.

“Ini yang ada sekarang, mungkin akan ada penambahan lagi kemudian, macam di Kelantan itu, ada balai mengalami kerosakan teruk dan tak dapat diselamatkan sebab air naik cepat.

“Setakat ini, Kelantan banyak, habis rosak peralatan, komputer dan dokumen-dokumen rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat dan menyampaikan Sumbangan Mangsa Banjir Balai Polis Kuala Jengai di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 12 orang termasuk 11 anggota yang bertugas di balai berkenaan menerima sumbangan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, Balai Polis Kuala Jengai yang disering dinaiki banjir akan dipindahkan ke lokasi baharu.

“Memang ada rancangan kita untuk memindahkan balai ini ke lokasi yang lebih selamat dan tinggi yang mana kita telah mengangkat cadangan ini semasa mesyuarat Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) Rolling Plan Satu yang diadakan pada Oktober di Kedah.

“Permohonan telah diluluskan cuma lokasi kerana lokasi asal keluasan kurang daripada lima hektar dan kita sudah cadang dua lokasi baru iaitu di Kampung Cemuak dan Kampung Surau.

“Insya-Allah, permohonan sudah ada dan kita akan pindahkan Balai Polis Kuala Jengai ini ke lokasi baharu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini