Tumpuan :
Nasional

PDRM perlu siap siaga pastikan keselamatan negara terjamin – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini berikutan Malaysia secara rasmi mengambil alih teraju Kepengerusian Asean, yang bakal menyaksikan negara ini menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi program-program bertaraf antarabangsa.

“Jangan mudah berlapang dada dengan keamanan dan kedamaian yang dikecapi kini, sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan, malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden.

“Justeru, saya menyeru seluruh warga Sang Saka Biru untuk memperkukuhkan personaliti sebagai penguat kuasa yang berintegriti tinggi, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi ketetapan peraturan, bersederhana dalam kehidupan dan istiqamah dalam berbuat kebaikan, bersabar dengan segala cemuhan serta yakin dengan inayah-Nya,” katanya.

Razarudin berkata, dalam sekelip mata, 2024 melabuhkan tirai dengan meninggalkan pelbagai cabaran, dugaan serta pengalaman suka dan duka buat warga Sang Saka Biru.

“Keupayaan dan kecekapan pasukan diuji semasa mengendalikan kes-kes berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, baik dari aspek sumber manusia, kelengkapan logistik, tata kelola, teknologi dan sebagainya.

“Tahun 2024 mencatatkan kejayaan gemilang buat PDRM hasil usaha gigih dari setiap jabatan dalam menjalankan fungsi masing-masing selaras Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

“Ia secara tidak langsung telah menyumbang kepada pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa seperti Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 apabila Malaysia berada di tempat ke-10 daripada 163 negara,” katanya.

Katanya, pencapaian ini sekali gus memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi yang memberangsangkan hasil keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Sekalung penghargaan kepada seluruh warga Sang Saka Biru atas komitmen, sumbangan, pengorbanan dan semangat yang tinggi, menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif dalam menghadapi ancaman keselamatan dan ketidaktentuan global yang semakin kompleks.

“Tidak dilupakan juga penglibatan semua pihak di peringkat antarabangsa, kementerian, jabatan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta segenap lapisan masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keupayaan benteng keselamatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap jalinan kolaborasi ini dapat diperkukuhkan bagi memenuhi tanggapan kerajaan dan masyarakat yang menuntut perkhidmatan telus serta berimpak tinggi.

“Peredaran masa menjadikan PDRM semakin matang dan ampuh mendepani pelbagai ancaman jenayah yang berevolusi dengan perkembangan teknologi dan lanskap keselamatan serantau yang tidak menentu.

“Namun, disebabkan pengalaman, peningkatan keupayaan serta semangat taat setia warga Sang Saka Biru kepada Raja dan Negara menyebabkan PDRM berjaya menangani pelbagai cabaran mendatang.

“Keprihatinan kerajaan kepada PDRM telah dizahirkan melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan motivasi warga pasukan antaranya menaik taraf kediaman dan premis PDRM, memperkukuhkan keperluan sumber manusia dan kelengkapan logistik, memperkasakan keselamatan sempadan serta kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.

Katanya, usaha-usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani bagi memastikan ekosistem yang sejahtera, disokong oleh warga kerja yang berdaya cipta, saling menghormati dan ihsan demi kemampanan Sang Saka Biru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini