KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis kanan Thailand di Narathiwat baru-baru ini berkemungkinan melarikan diri ke dalam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua suspek lelaki, Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.
Menurutnya, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
“PDRM akan berkongsi maklumat risikan bersama pihak berkuasa dari negara jiran supaya dua suspek terbabit dapat dikesan sekiranya benar mereka masuk Malaysia.
“Sementara itu, pelbagai elemen rondaan PDRM di sempadan diarahkan berada dalam keadaan berwaspada,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, polis Thailand percaya dua suspek lelaki yang terlibat kes bunuh seorang pegawai polis dan anaknya melarikan diri ke Malaysia.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada 14 Januari membabitkan suspek berkenaan yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap membabitkan pelbagai kesalahan membabitkan isu keselamatan.
Dalam kejadian itu, mangsa Leftenan Kolonel, Suwit Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat.