Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan beberapa media berhubung penahanan Eran Haya yang menjadi sasaran lelaki ejen Israel yang diberkas baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Buletin TV3 berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan laporan berkenaan.
“Kita masih dalam siasatan, saya tak cakap tak ditangkap, masih lagi dalam siasatan kerana ada nama yang hampir sama, tetapi kita tak nak sahkan dahulu, pengakuan tiada lagi”, katanya.
Jelas beliau, polis ada melakukan tangkapan terhadap individu yang mempunyai nama hampir sama dengan lelaki itu.
Bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap lelaki berkenaan.
12 Mac lalu, Shalom Avitan ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, ibu negara bersama enam pucuk pistol serta 200 butir peluru.
Terdahulu, beberapa agensi media mendakwa sasaran ejen Israel Avitan yang masuk ke Malaysia, iaitu Eran Haya berada dalam tahanan polis.
Laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan daripada pihak sumber.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.