Oleh : Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Polis Johor melabuhkan tirai 2023 dengan kejayaan cemerlang apabila berjaya merampas 5.08 tan dadah bernilai RM35.83 juta dengan jumlah sitaan harta bernilai RM16.6 juta sepanjang tahun 2023.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepanjang tempoh itu, 16,598 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu ketiga tertinggi di Malaysia.
Beliau berkata, bagi kes penagih berulang, 615 orang ditahan manakala 127 orang ditahan di bawah Tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya membuat pertuduhan sebanyak 5,728 kes manakala bagi kadar penyelesaian kes pula sebanyak 12,947 kes.
Sebanyak 16 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan dengan 98 tangkapan” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, bermula Januari 2023, Op Tapis Khas telah dilancarkan dengan memberi fokus kepada kawasan ‘hotspot’ seperti jeti nelayan, projek perumahan rakyat (PPR), lokasi penagih dan kawasan Felda.
Hasilnya, berjaya menahan 1,478 orang atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 191 kes bekalan, 293 kes memiliki dadah dan 994 penagih dadah.
Turut ditahan dalam operasi berkenaan 175 suspek berstatus orang dikehendaki.
“JSJN Johor juga telah menyerbu sebanyak 1,423 kali pusat hiburan di seluruh negeri menerusi Op Pusat Hiburan membabitkan 15,243 orang diperiksa manakala 1,105 pula ditahan atas pelbagai kesalahan dadah,” jelasnya lagi.