comscore
Tumpuan :
Nasional

PDRM gerak unit skuba forensik, K9 cari telefon pintar, rantai Nur Farah Kartini pagi esok

Anggota penyiasat membawa suspek ke lokasi mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25 yang ditemui mati di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan unit skuba (Unit Forensik) serta Unit Anjing Pengesan (K9) ke lokasi penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pagi esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus ketika dihubungi Bernama berkata proses mencari bahan bukti akan dimulakan sekitar jam 9 pagi di kawasan parit berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.

“Kita akan cari telefon pintar miliknya (mangsa) serta rantai dan beberapa barang lain lagi yang dipercayai boleh dijadikan bahan bukti dan menjadi petunjuk kes,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.

Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun direman seminggu bermula hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini