Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan pindaan dilakukan terhadap Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi menangani kes jenayah siber yang semakin hari semakin kompleks.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberitahu syor PDRM itu sedang diperhalusi serta perlu mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Jabatan Peguam negara (AGC).
“Berdasarkan beberapa libat urus yang kita laksanakan, kementerian mengambil maklum atas pandangan yang disebut termasuk apa yang dibangkitkan oleh Yang berhormat tadi, maka akta pencegahan jenayah perlu dilaksanakan dalam menangani kes kes jenayah dan sebenarnya pindaan yang disyorkan perlu mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib yang bertanya langkah kementerian untuk meningkatkan kelengkapan dan kemampuan PDRM menangani trend jenayah siber yang semakin canggih.
Dalam pada itu, jelasnya kerajaan melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (NCSS) 2024, bagi meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan negara.
Strategi itu adalah kerjasama Kementerian Komunikasi Digital (KKD), agensi keselamatan siber negara dalam menggubal, memantau, melaksana dalam menyelaras pelan tindakan jangka sederhana.
Datuk Seri Shamsul berkata, tahap kepakaran dalam kalangan anggota penguat kuasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa, seiring peredaran zaman termasuk menghantar pegawai PDRM menghadiri kursus berkaitan sama ada dalam atau luar negara.
“Kementerian sedar, selaras perkembangan trend jenayah secara dalam talian semasa, kaedah penyiasatan juga semakin kompleks. Berikutan itu, PDRM dari semasa ke semasa melakukan penambahbaikan dan memperkasakan kemudahan terutama makmal forensik serta digital forensik sebagai peneraju dalam siasatan jenayah siber.
“Usaha ini menelan belanja besar, namun perlu dilakukan supaya jenayah ini dapat ditangani dengan baik, sekali gus dapat selamatkan rakyat negara ini,” katanya.